Sesi Kelestarian di Tasik Kenyir

KUALA TERENGGANU, 6 Mei – Fakulti Sains Perikanan dan Akuakultur (FSPA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus komited memperkasa kecekapan pengurusan dan kesejahteraan warga kerjanya menerusi penganjuran Sesi Kelestarian Kakitangan Pengurusan dan Sokongan yang diadakan di Tasik Kenyir, hari ini.

Program sehari yang melibatkan 40 peserta dalam kalangan pengurusan profesional dan kakitangan sokongan itu diadakan di Pusat Penyelidikan dan Khidmat Lapangan UMT, sebagai inisiatif pembangunan modal insan selaras dengan aspirasi universiti.

Menurut Dr Azman selaku penganjur program, sesi ini bertujuan mengukuhkan kerja berpasukan, meningkatkan komunikasi berkesan dan memupuk nilai kebersamaan dalam suasana yang lebih santai dan kondusif di luar persekitaran pejabat.

“Penganjuran program ini bukan sahaja memberi ruang kepada pekerja berinteraksi dengan lebih terbuka, malah membantu meningkatkan motivasi serta kesejahteraan mental serta emosi pekerja,” katanya.

Sepanjang program berlangsung, para peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk sesi perkongsian pengurusan, aktiviti kumpulan interaktif dan aktiviti pembinaan pasukan yang diadakan di Pusat Penyelidikan dan Lapangan UMT, Tasik Kenyir dan Pulau Herba. Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman ini dilihat mampu mengukuhkan pemahaman tentang peranan dan tanggungjawab masing-masing.

Pemilihan Tasik Kenyir sebagai lokasi program juga bertepatan dengan konsep kelestarian yang diketengahkan, selain menyediakan persekitaran semula jadi yang menyegarkan minda dan meningkatkan produktiviti peserta.

Program ini adalah susulan keputusan Mesyuarat Pengurusan FSPA yang diadakan Januari lalu, yang bersetuju meluluskan penganjuran sesi tersebut sebagai platform strategik untuk memperkukuh budaya kerja berprestasi tinggi.

Penganjuran Sesi Lestari ini diharap dapat menyokong agenda pembangunan modal insan UMT yang menyeluruh, sekali gus mengukuhkan keupayaan fakulti menghadapi cabaran masa depan dan meningkatkan kecemerlangan organisasi

#fspadihatiku

#teambuilding

#PengurusanDanSokongan

#KebersamaanUMT