Assalammualaikum dan Salam Sejahtera
Pada 8 Sept 2026 jam 10.00 am bertempat di Dewan Bina Syarahan, Universiti Malaysia Terengganu telah berlangsung satu program ‘Industry in the classroom’ khusus untuk pelajar program Diploma Perikanan tahun 1. Program anjuran Fakulti Sains Perikanan dan Akuakultur ini dihadiri oleh seramai 174 pelajar yang sedang mengikuti kursus Biologi Ikan pada semester ini. En. Mohd Tamimi bin Ali Ahmad, Pegawai penyelidik dari Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT-SEAFDEC/MFRDMD) telah dijemput sebagai penceramah jemputan pada sesi kali ini dengan tajuk ‘Peranan kajian perikanan kepada kelestarian sumber perikanan dan keterjaminan makanan di Malaysia’.
Program dimulakan dengan pengenalan kepada ISMAT, latar belakang dan objektif penubuhan. Pelbagai kemudahan yang ada di ISMAT seperti bahan rujukan, perpustakaan, makmal dan bilik seminar turut diwarwarkan. Seterusnya perkongsiaan mengenai kerjasama erat dalam bidang perikanan di antara Malaysia dengan negara sekitar Asia Tenggara terutamanya dalam kajian stok perikanan serantau. Seterusnya ceramah diperluaskan mengenai kajian yang dijalankan mengenai ikan-ikan komersil yang menjadi sumber ekonomi kepada masyarakat Malaysia, ikan yang hampir pupus. Seterusnya perkongsiaan mengenai kajian kematangan gonad ikan, spesies jerung dan lain-lain.
En. Mohd Tamimi turut berkongsi mengenai cabaran dalam kajian perikanan. Antaranya mengenai postmortem hidupan marin yang terdampar di pantai negara. Postmortem dilakukan bagi mengenalpasti punca kemadian hidupan marin tersebut. Selain itu, beliau juga berkongsi mengenai cabaran kajian penyu. Kes seperti penyu mati disebabkan kemalangan dan penyakit.
Di akhir sesi, pelajar berpeluang melihat spesimen ikan dan hidupan marin yang dibawa khas dari ISMAT ke UMT. Antara specimen menarik ialah ikan yu-buntal Sarawak (Sarawak pygmy swell shark) atau nama saintifik Cephaloscyllium sarawakensis yang ditemui di Sarawak pada tahun 1998. Selain itu udang lipan (Robber harpiosquilid mantis shrimp) atau nama saintifik Harpiosquilla harpax, sotong berlian (diamond squid) Thysanoteuthis rhombus dan undok-undok sawa (Double-ended pipefish) atau Trachyrhamphus bicoarctatus.
Program ini diselang seli dengan kuiz mengenai perikanan dan pelajar telah cuba menjawab soalan yang dikemukakan dengan baik. En Mod Tamimi juga telah berkongsi tips untuk mengharungi kehidupan sebagai pelajar universiti. Beliau juga memaklumkan kepada pelajar untuk memohon penempatan latihan industri di ISMAT sekiranya berminat. Program ini turut disertai oleh pensyarah FSPA dan staf ISMAT ini mendapat maklumbalas positif dari pelajar. Secara keseluruhan, pelajar mendapati program ini dapat membuka minda ke dunia perikanan sebenar, memahami dengan lebih mendalam kajian perikanan dan juga kepentingan sektor perikanan kepada negara